VERSUS Musim Ke-2 Lebih Mantap

VERSUS Musim Ke-2

VERSUS musim pertama ditutup dengan kanvas warna warni kreatif apabila intepretasi karya band Hujan berjaya membuatkan mereka membawa pulang ganjaran tunai bernilai RM200,000 menewaskan empat band lain yang mempunyai kehebatan tersendiri. Program realiti yang berbeza ini telah menjadi buah mulut pelbagai pihak atas kejayaan menghasilkan sesuatu yang berkualiti, unik dan segar.

Malah, program realiti unik kolaborasi antara TV9 dan Hot FM ini juga telah mendapat pengiktirafan dalam Shout Awards! bagi kategori “Fresh TV Series Award” tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan VERSUS, sebuah program yang menggalakkan pemuzik tempatan mengetengahkan kreativiti muzik tanpa batasan dapat diterima oleh masyarakat dan secara tidak langsung objektif utama VERSUS dalam memartabatkan muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi, telahpun terlaksana.

Program realiti unik yang ditunggu-tunggu oleh golongan muda ini akan disiarkan pada setiapJumaat, jam 9.30 malam bermula 5 April 2013 ini. Sebagai permulaan, lima band bertuah yang terpilih akan memperkenalkan anggota masing-masing dengan tugasan pertama mereka membawakan lagu bertemakan ‘Band Malaya’. Lima band bertuah yang bakal menggegarkan VERSUS musim kedua ialah Estranged, Kristal, Kyoto Protocol, Manifesto dan Oh Chentaku.

Sekali lagi, Versus akan menapakkan diri di Space U8, Shah Alam untuk siaran langsung bagi konsert kedua dan seterusnya. . Orang ramai khususnya peminat VERSUS, dijemput hadir beramai-ramai ke Space U8 untuk menyaksikan sendiri kehebatan aksi pentas dan suntikan idea baru daripada mereka.

Menurut Pengurus Besar TV9, Puan Zurina Othman “Kejayaan VERSUS telah memberi semangat kepada kami untuk meneruskannya kepada musim kedua. Program realiti yang memberi kebebasan kepada kumpulan muzik tanahair kita ini merupakan projek terbesar TV9.  Harapan kami agar VERSUS musim kedua juga dapat menempa kejayaan seperti musim pertama yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penonton remaja kami. Ianya juga adalah seiiring dengan sasaran penonton TV9 yang tertumpu kepada golongan berusia antara 15 hingga 35 tahun.”

“Lebih membanggakan, program hiburan sebegini tidak pernah diterbitkan oleh mana-mana stesen sebelum ini dan kandungan idea yang disuntik dalam program ini adalah segar dan unik, tidak menyamai dengan mana-mana program yang sedia ada. VERSUS terhasil semasa perbincangan antara TV9 dan Hot FM menerusi brainstorming yang diadakan sekitar 2011. Kami pasti, ramai yang tidak sabar untuk melihat dan mendengar kreativiti mereka di atas pentas dan memberi kepuasan kepada mereka yang sukakan muzik. Kami pasti, kolaborasi musim kedua antara TV9 dan Hot FM kali ini lebih menyengat memandangkan Versus musim pertama sangat berjaya sehingga #versusMY menjadi trending nombor satu Malaysia dalam laman sosial, Twitter,” tambah beliau lagi.

Secara amnya, VERSUS telah memulakan satu revolusi muzik apabila mendapat hampir setengah billion capaian (impressions) melalui #VERSUSMY di laman sosial twitter. Kini, VERSUS musim kedua kembali dengan lima band hebat masa kini iaitu Kristal, Oh Chentaku, Kyoto Protocol, Estrangeddan Manifesto. Manifesto merupakan sebuah band projek yang menggabungkan Tomok dan juara Hot FM Bingit musim pertama, Modread. Kesemua band mempunyai latar belakang serta genre muzik yang berbeza dan mereka menjanjikan kelainan dari musim pertama.

Sementara itu, Puan Anida Mohd Tahrim, Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima berkata,” Sebagai satu pasukan di bawah projek ini bersama TV9, ini adalah salah satu momen yang kami tunggu-tunggu di mana melalui VERSUS, kita dapat melihat kreativiti beberapa band-bandtempatan. Kejayaan tahun lalu menjadi pemangkin bagi kami untuk menyajikan pengisian yang lebih mantap dan relevan dengan keadaan muzik semasa.”

“Bagi kami, sejauh manapun kami menjalankan perbincangan dan perancangan semasa pra produksi, namun akhirnya kemuncak persembahan mingguan adalah apa yang kami ingin tonjolkan kepada penggemar-penggemar muzik tempatan. Selain menyiarkan konsert mingguan Versus secara langsung, di Hot FM pengikut Versus akan dapat mengikuti perkembangan terkini band-bandyang bertanding,” tambah beliau lagi.

VERSUS musim kedua masih mengekalkan konsep yang sama iaitu 50 peratus pemarkahan datang dari juri tetap dan 50 peratus lagi dari undian SMS peminat mereka. Tiada penyingkiran sepanjang program ini berlangsung di mana kelima-lima band ini akan berentap di pentas akhir VERSUS nanti. Serasi dengan komen yang pernah diberikan pada musim lalu, VERSUS mengekalkan juri Jennifer Thompson dan Loque sekali lagi untuk musim ini. Hunny Madu dan Aidid Marcello juga turut diberi tanggungjawab untuk mengacarakan VERSUS sekali lagi.

Hadiah lumayan menanti sang juara di konfrontasi terakhir nanti, wang sebesar RM200,000 bakal dibawa pulang. Selain itu terdapat juga hadiah mingguan kepada pemenang “battle” setiap minggu.Band ke pusingan “battle” akan dipilih menerusi undian SMS tertinggi dan pemenang akan ditentukan oleh juri.

Selain itu, jika penonton ingin tahu cerita belakang tabir VERSUS, Versus Backstage akan menyingkap suka duka perjalanan kelima-lima band tersebut dalam mengharungi setiap cabaran untuk bergelar juara VERSUS musim kedua. Bersiaran setiap Rabu dan Khamis jam 8.30 malam, Versus Backstage juga akan menampilkan Suraya daripada Hot FM untuk segmen VScoop di mana pelbagai “rempah” dan gossip terkini band-band tersebut akan dirungkaikan. Sebuah jelajah VERSUS turut dirangka bagi di lokasi tertentu seluruh Malaysia Jun nanti. Siri konsert yang bakal menampilkan gabungan band VERSUS musim pertama dan kedua ini pastinya mampu mencipta satu kelainan dan secara tidak langsung penggemar boleh berinteraksi secara langsung dengan band kegemaran mereka.

Sama-sama kita saksikan kelainan yang akan ditampilkan hanya di VERSUS musim kedua dalam revolusi memartabatkan kumpulan muzik di Malaysia dan meningkatkan produktiviti dalam penghasilan suatu karya yang lebih kreatif dan segar pada setiap Jumaat, jam 9.30 malam, bermula 5 April ini hanya di TV9 dan Hot FM.

Speak Your Mind

*