Snapchat Sasar IPO Bernilai RM13 Bilion

SAN FRANCISCO: Syarikat induk rangkaian sosial sedang pesat berkembang, Snapchat memfailkan dokumen umum untuk menawarkan saham yang dijangka menjana sehingga AS$3 bilion (RM13.27 bilion). 
Firma berpangkalan di California, Snap Inc, yang sebelum itu memfailkan dokumen sulit bagi tawaran awam permulaan (IPO) dijangka menjadi antara syarikat teknologi terbesar yang membuat kemunculan dalam pasaran saham sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan penilaian dijangka melepasi AS$20 bilion (RM88.48 bilion). 
Dalam dokumen yang dikemukakan kepada Securities and Exchange Commission, Snapchat berkata ia menjana pendapatan AS$404 juta (RM1.78 bilion) tahun lalu, namun rugi AS$515 juta (RM2.27 bilion). 
Snapchat yang dikenali dengan mesejnya yang boleh menghilang menjadi amat popular dalam kalangan pengguna muda telefon pintar. 
Namun, syarikat itu baru-baru ini memperluaskan tawarannya dengan membenarkan penerbit menghasilkan isi kandungan menerusi platform itu. 
Menurut pemfailan berkenaan, 158 juta orang menggunakan Snapchat dan lebih 2.5 bilion Snaps dicipta setiap hari. 
Snapchat menjalin kerjasama dengan puluhan penerbit dan pertubuhan, termasuk salah satunya diumumkan oleh New York Times semalam. 
Syarikat itu juga memperkenalkan produk dipanggil Spectacles, atau kaca mata yang boleh digunakan untuk mencipta Snaps. 
Snapchat berkata, ia menjangka menjana kebanyakan hasilnya daripada iklan untuk bersaing dengan syarikat seperti Google, Facebook dan Twitter. 
Syarikat itu memberitahu sejak penubuhannya, ia mengalami kerugian dan “mungkin tidak akan mencapai atau mengekalkan keuntungan“. – AFP