Mengandung : Shera Aiyob Alah Bau Hanyir, Zahiril Adzim Bertambah Rajin

Shera Aiyob Zahiril Adzim

Pelakon juga pengacara Shera Ayob berkata ketika awal-awal disahkan hamil, selera makannya meningkat. Sehinggakan dia pernah ditegur oleh pengarah kerana terlalu banyak makan di set lokasi penggambaran.

Pun begitu setakat hari ini, isteri kepada pelakon berkaliber, Zahiril Adzim ini belum lagi mengidam mahu memakan makanan yang pelik-pelik sepertimana lazim yang dialami kebanyakan wanita yang mengandung. Cuma dia tidak boleh menghidu makanan mentah dan hanyir.

“Setakat ni tak mengidam apa-apa. Muntah pun tak teruk. Cuma saya tak boleh hidu bau makanan mentah macam lala, kupang dan sebagainya. Saya pantang bau hanyir dan tumis masakan. Ada juga beberapa bau perfume yang saya tak boleh hidu. Kalau hidu saja mesti rasa rimas atau rasa nak marah.

“Zahiril suka makan omelette, jadi pagi-pagi saya akan buatkan sarapan untuk dia. Masa pecahkan telur nak buat omelette tu saya rasa loya. Lepas tu saya dah tak buat breakfast dan dah jarang masak. Lagi pun kami berdua sibuk di set lokasi penggambaran hingga lewat malam. Makan di lokasi jer lah”,

Tambah Shera atau nama Nur Syahirah Aiyob, meskipun usia kandungannya kini baru mencecah tiga bulan, dia tidak mempunyai masalah untuk aktif berlakon selagi berupaya. Dia dan suaminya baru pulang dari Istanbul Turki bagi menjalani penggambaaran telemovie arahan sutradara Eirma Fatimah, berjudul Bayangan Rindu, baru-baru ini.

“Tawaran berlakon memang ada. Kalau saya tak larat, baru saya tolak tawaran tu. Sekarang ni pun saya masih menjalani penggambaran dengan Kak Eirma.

“Ibu dan ibu mertua saya memang risau dan mereka ada ingatkan supaya jangan terlalu lasak sangat masa awal-awal ni. Tapi Alhamdulillah setakat ni okay. Sewaktu jalani penggambaran di Turki baru-baru ni, saya siap boleh mendaki bukit lagi. Terkejut juga lah sebab macam tak percaya yang saya daki bukit sedangkan saya hamil”, katanya sambil tertawa.

Ditanya pula kalau-kalau suamiya ada mengalami apa-apa perubahan semenjak dikhabarkan bakal menjadi bapa, Shera memberitahu,

“Dia semakin rajin. Sebelum ni memang dia selalu rajin tolong saya buat kerja-kerja rumah. Tapi sejak saya hamil ni dia bertambah rajin”, katanya sambil memandang ke arah Zahiril.

Sejurus itu Zahiril yang turut ditemui memberitahu, dia memang penggemar durian tetapi sejak isterinya itu berbadan dua, keinginannya memakan durian semakin menjadi-jadi. Beliau juga mengharap untuk menimang cahaya mata lelaki.

“Tak kisah anak lelaki atau perempuan. Tapi kalau boleh nak lelaki. Kalau lelaki, boleh jadi bestfriend saya. Kalau perempuan boleh jadi bestfriend Shera”, kata bintang filem Juvana ini.

Speak Your Mind

*