Isu Rumah Tangga : “Macam Mana Nak Hidup Bahagia?” – Erra Fazira

Erra Fazira

Walaupun sudah banyak kali memberi penjelasan mengenai gosip rumah tangganya, namun pelakon cantik Erra Fazira masih tidak henti-henti dari terus diasak dengan isu yang sama.

Malah, gara-gara memberi jawapan yang agak tergantung serta meninggalkan pelbagai tanda tanya pada semua, ada juga segelintir pihak yang mengambil kesempatan membuat spekulasi sendiri mengenai kemelut rumah tangganya itu.

Ekoran terlalu banyak spekulasi liar yang timbul mengenai rumah tangganya bersama suami Engku Emran Engku Zainal Abidin, ibu kepada puteri comel Engku Aleesya yang ditemui pada majlis pelancaran Butik Desa Murni Batik di Seksyen 7, Shah Alam turut mengakui tidak bahagia sejak kebelakangan ini.

“Macam mana nak hidup bahagia kalau saya terus diasak dengan perkara yang sama. Sehingga kini spekulasi mengenai rumah tangga saya tak berhenti.

Bila saya cakap ‘A’, orang akan cakap ‘B’, jadi lebih baik saya tutup saja mulut memandangkan saya tak boleh nak tutup mulut orang. Saya juga dah jelaskan sebelum ini, saya ada sebab kenapa saya zip mulut dari terus memberi kenyataan. Saya ada alasan dan orang lain tak perlu tahu.”

Tegas dengan pendirian mengunci rapi mulut mengenai isu rumah tangganya, penyandang gelaran Miss Malaysia 1992 ini memberitahu meskipun tidak mampu untuk menutup mulut orang dari terus memperkatakan perihal rumah tangganya, namun dia berharap agar semua pihak menghormati prinsipnya itu.

“Kita sebagai wanita dihadkan untuk berbicara mengenai hal rumah tangga kerana takut nanti mengaibkan keluarga. Islam pun dah beritahu hal rumah tangga tak patut dikongsi bersama orang luar. Ada benda yang orang ada hak nak tahu dan ada benda yang tidak.”

“Saya dah cakap tunggu masa yang sesuai dan terbaik. Ini semua kerja Tuhan dan segala persoalan akan terjawab juga nanti.”

Speak Your Mind

*