Cintakan Dunia Lakonan, Nadiya Nisaa Tinggalkan Jawatan Pegawai Kerajaan

Nadiya Nissa

Demi cintanya pada dunia lakonan, Nadiya Nisaa’ akhirnya membuat keputusan meletak jawatan sebagai pegawai perhubungan awam di jabatan kerajaan kerana ingin fokus dalam bidang lakonan.

Selepas menang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2011 menerusi filem Cun, Nadiya atau nama sebenar, Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 27, sedar makin banyak tawaran diterima.

Namanya makin jadi sebutan apabila digandingkan dengan Aaron Aziz dalam drama bersiri 80 episod Adam Dan Hawa yang kini menjadi perhatian penonton disiarkan di Astro Mustika. Akuinya, sukar juga membuat keputusan itu tetapi apabila semakin banyak tawaran datang dan dia tidak mampu melakukan pekerjaan pada masa sama, tindakan melepaskan jawatan sebagai pegawai perhubungan awam dirasakan paling tepat.

“Mula-mula saya boleh bahagikan masa lagi tetapi apabila semakin banyak peluang berlakon, akhirnya saya berbincang dengan suami. Alhamdulillah, dia faham kecenderungan saya dan menyokong untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

“Jadual saya kini memang sibuk. Selain berlakon, saya perlu menguruskan anak. Apabila banyak tawaran, saya terpaksa mencari pembantu rumah untuk menjaga anak saya yang baru berusia setahun.

“Sebelum ini saya menguruskan semuanya tetapi disebabkan jadual kerja tidak menentu, saya dan suami sepakat mendapatkan khidmat pembantu rumah,” katanya.

Ibu kepada Omar Saiful Razman itu mengakui, ikutkan hati, dia tidak mahu menyerahkan tugas menjaga anaknya kepada orang lain. Baginya, sebagai ibu dan isteri, lebih seronok apabila diri sendiri menguruskan keluarga.

Bagaimanapun, kesibukan berlakon dengan jadual kerja yang tidak menentu menyebabkan Nadiya dan suami, Saiful Razman Mohd Kassim sepakat mendapatkan khidmat pembantu rumah.

 “Memang berat hati saya untuk menyerahkan tugas itu kepada orang lain, tetapi saya tiada pilihan. Tuntutan kerja menyebabkan kami terpaksa rela melepaskan penjagaan cahaya mata kami kepada pembantu rumah. Bagaimanapun, kami masih belum berjumpa orang sesuai,” katanya.

Mengakui persaingan dalam industri seni semakin sengit, dia menjelaskan sudah bersedia untuk berdepan keadaan itu. Baginya, perkara yang membezakan setiap pelakon adalah disiplin.

Tambah pula suaminya sentiasa memberi sokongan dalam semua aktiviti dilakukan. Bagi menjaga keutuhan rumah tangga, Nadiya tidak kisah menggunakan masa terluang itu untuk bersama-sama dengan keluarga walaupun fizikalnya memerlukan rehat yang cukup.

Semua orang meletakkan keluarga sebagai keutamaan, begitu juga Nadiya. Dia tidak mahu kerjaya menjadi punca pergaduhan, seterusnya merenggang hubungan kekeluargaan.

Comments

  1. minat dalam lakonan sanggup melepaskan jawatan penting dlm sektor awam..good luck

  2. Nur Najihah Nasuha Bt Zairy says:

    lakonan pun bagus………..x sia-sialah lepaskan jawatan!!!!

Speak Your Mind

*