Linda Hashim Berkongsi Cerita 6 Jam Bertarung Nyawa Lahirkan Anak Pertama

Linda Hashim

Enam jam bertarung nyawa di dalam dewan bersalin merupakan pengalaman paling berharga buat pelakon Linda Hashim. Dadanya berdegup kencang apabila doktor memberitahu yang dia akan dibawa ke dewan tersebut pada waktu subuh hari Rabu lalu.

“Kalau ikut ramalan saya akan melahirkan anak pada 26 April tapi nampaknya bayi tersebut nak keluar awal terpaksalah saya bersedia bila diusung ke dewan tersebut. Debarnya memang terasa tambahan pula ini pengalaman pertama saya. Nasib baik Beego ada bersama sepanjang proses tersebut yang memberikan semangat kepada saya.

“Tak boleh nak cerita pengalaman bersalin. Apabila sudah merasai sendiri baru saya sedar macam-macam perasaan yang datang selagi bayi tak keluar,”

Bayi perempuan seberat 2.6 kilogram tersebut dilahirkan lebih kurang pukul 12.20 tengahari dan dia bersama suami sepakat menamakan bayi itu dengan nama Jelita Clarissa.

Buat masa ini Linda menghabiskan tempoh berpantang di rumah kakaknya di Kuala Lumpur dan pastinya kelahiran tersebut disambut dengan rasa gembira oleh kedua-dua keluarga besar mereka.

“Kalau nak berpantang di rumah keluarga Beego di Johor macam menyusahkan mereka memandangkan ibu Beego masih bekerja. Tak mengapalah saya duduk di rumah kakak saya sampai habis pantang.

“Walaupun dah ada anak saya tak boleh nak tinggalkan dunia lakonan macam itu sahaja. Kalau ikutkan memang saya tak sabar nak kembali ke lokasi penggambaran.

“Dah lama sangat berehat panjang sepanjang kehamilan. Kalau habis pantang nanti harap-harap ada tawaran yang datang. Tapi keutamaan tetap kepada anak,” katanya lagi.

Speak Your Mind

*