Lelaki, Wanita Maut Ditembak di Jalan Tuanku Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Dua maut dalam kejadian tembak di tingkat 16 bangunan Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini, sebentar tadi. 
Mangsa lelaki berumur 51 dan wanita berumur 46 tahun ditemui di ruang hadapan pejabat sebuah firma guaman di premis itu. 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira jam 3 petang tadi. 
“Pihak polis menerima panggilan jam 3 petang dan menggerakkan anggota ke tempat kejadian. Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati satu mayat wanita dan lelaki ditemui di tingkat 16 bangunan ini,” katanya.
Hasil siasatan awal mendapati kesan tembakan di belakang paha kiri dan belakang badan wanita berkenaan dan satu tembakan di bahagian kepala lelaki. 
Difahamkan kedua-dua mangsa adalah bekas pasangan suami isteri yang bercerai lima tahun lalu. Lelaki berkenaan dipercayai tiba di bangunan itu pada jam 2.45 petang dan berjumpa dengan bekas isterinya. 
Sebelum tembakan, berlaku pergaduhan kecil lalu lelaki berkenaan bertindak melepaskan tembakan ke arah wanita terbabit dan kemudian menembak dirinya sendiri. 
Lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 324 iaitu menyebabkan kecederaan. 
Pihak polis masih menyiasat motif kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.