10 Kontroversi Dunia Hiburan Terhangat Sepanjang Tahun 2013

Dunia Hiburan Terhangat Sepanjang Tahun 2013

Hari terakhir 2013 membuatkan kami kembali mengimbas kisah suka-duka yang berlaku di dalam industri hiburan Malaysia. Biarpun ada segelintir pihak yang memandang dunia hiburan tempatan dengan sebelah mata, namun hakikatnya dunia glamor ini tidak pernah hilang tumpuan daripada peminat.

Ini kerana ada sahaja kontroversi yang cuba dicipta atau tercipta oleh golongan bergelar selebriti. Sebagai tanda meraikan kedatangan 2014, jom kita sama-sama semak kembali berita dan kontroversi  panas sepanjang tahun 2013.
1) Aeril Zafrel & Wawa Zainal Nikah Senyap-Senyap

Cerita kahwin Aril Zafrel dan Wawa Zainal merupakan berita hiburan paling menggemparkan industri. Setelah penafian demi penafian dilakukan oleh pasangan ini, mereka akhirnya tampil membuat pengakuan mereka telah berkahwin serta mempunyai anak. 

Pengakuan pasangan ini bukan menamatkan spekulasi, sebaliknya mengundang lebih banyak spekulasi. Malah, taraf anak lelaki mereka turut dipersoalkan biarpun penjelasan telah diberikan. Tidak cukup dengan itu, kisah pertunangan Wawa dengan seorang jejaka dari Sabah turut terbongkar. Tidak dinafikan kisah perkahwinan pasangan ini sedikit-sebanyak mencalarkan imej kedua-dua individu ini.

2) Konflik  Sharnaaz , Shila Amzah , N.D Lala 

Percintaaan Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad memang mendapat pelbagai respon daripada peminat masing-masing. Ada yang menyokong, ada juga yang kurang bersetuju. Setelah setahun mengakui saling mencintai, hubungan cinta mereka akhirnya terlerai jua setelah melalui pelbagai konflik.

Bukan konflik antara mereka berdua sahaja, sebaliknya turut membabitkan bapa Shila, N.D Lala. Semuanya gara-gara N.D Lala tidak bersetuju dengan niat Johan yang ingin membawa hubungan cintanya ke peringkat lebih serius (berkahwin). N.D Lala mahu Shila Amzah menumpukan perhatian kepada kerjayanya yang semakin berkembang. Satu demi satu pendedahan dibuat kepada pihak media. Namun, Sharnaaz akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Shila kerana kecewa dengan sikap bapa penyanyi itu.

3) Kisah “Cinta Tahi Kucing” Lana Nordin & Johan Asari 

Kisah cinta Lana dan Johan menjadi topik hangat peminat kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Mereka bukan hanya mengaku bercinta, tetapi turut mendedahkan mahu melangsungkan perkahwinan secepat mungkin. Paling menarik, Johan mendedahkan dia mengambil keputusan untuk melamar Lana hanya dalam masa tiga hari. 

Ketika peminat masih memperkatakan tentang hubungan cinta mereka, tiba-tiba Johan tampil membuat kenyataan yang dia terpaksa melepaskan Lana kerana tidak mendapat restu pihak keluarga. Pendedahan ini dibuat kurang dari sebulan mereka mengaku bercinta! Berbeza dengan kisah-kisah peribadi Johan sebelum ini, kisah cintanya dengan Lana kali ini mengundang tamparan hebat kerana ramai peminat yang marah dengannya dan memihak kepada Lana.

4) Shahrizal Jazsle Berkhalwat Dengan Farah 

Hero filem Azura, Shahrizal Jazle atau lebih dikenali dengan nama Shah Jaszle mengejutkan industri hiburan apabila ditangkap khalwat pada Mei lalu. Memang bukan satu perkara baru golongan selebriti ditangkap khalwat, tetapi yang menjadi bualan hangat ialah Shahrizal merupakan tunangan orang iaitu Redzwani Puteri.

Tambah hangat, pelakon kacak itu mengaku tidak bersalah dan mendedahkan dia diperangkap oleh wanita yang diberkas bersama-samanya. Bagaimanapun, teman wanitanya itu menafikan perkara tersebut dan mengaku dia dan Shahrizal sudah lama menjalin hubungan cinta.

Ekoran penangkapan itu, keluarga Redzwani dilaporkan memutuskan pertunangan mereka. Namun, kini pertunangan pasangan ini bersambung kembali. Kes khalwat Shahrizal masih belum selesai kerana dia mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan baru-baru ini.

5) Skandal Gambar Lucah Adi Putra & Noraida, “Suka Sama Suka”

Berita membabitkan hero pujaan ramai ini sangat mengejutkan banyak pihak. Maklumlah, Adi Putra dilihat sangat menjaga imej serta bijak membawa diri dalam dunia hiburan. Siapa sangka lelaki berimej bersih ini tiba-tiba mencipta kontroversi memualkan! Skandal dengan isteri orang, Nooraida. Macam tidak percaya pun ada.

Pada mulanya, ramai yang menganggap skandal itu hanya gosip liar semata-mata, bagaimanapun setelah laporan polis dibuat oleh pihak wanita yang dikaitkan dengannya, ramai pula yang mula percaya. Baik Adi mahupun wanita terbabit punya cerita sendiri.

Kini, kes skandal ini menjadi semakin menarik untuk diikuti kerana beberapa hari selepas kes ini ditutup oleh pihak polis, Nooraida diceraikan oleh suaminya. Bukan itu sahaja, bekas suami Nooraida membuat rayuan kepada mahkamah untuk meneruskan siasatan terhadap Adi Putra.

6) Fizz Fairuz Tunang Dengan Isteri Orang 

Pelakon utama filem Nur kasih ini menggemparkan industri hiburan apabila dia melangsungkan pertunangan secara senyap dengan wanita dari Kuantan, Pahang, Azlyn Massiela. Ini kerana semua sedia maklum dia menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Almy Nadia. Setelah kisah pertunangannya tersebar meluas, tidak sampai seminggu, timbul pula kontroversi lain; Fizz putus tunang kerana mendapati Azlyn sebenar berstatus isteri orang.

Bagaimanapun, Azlyn menafikan perkara tersebut dan menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan mana-mana lelaki. Azlyn turut meluahkan rasa kecewa dengan Fizz kerana menjatuhkan air mukanya dan juga pihak keluarga dengan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, lelaki yang mendakwa dia suami kepada Azlyn memberitahu Azlyn tidak meningati perkahwinan mereka kerana sakit selepas lapan bulan hilang ingatan.

7) Afiq Muiz & Eina Azman vs Ibu Afiq Muiz, “Si Tanggang Moden”

Ibu pelakon baharu, Afiq Muiz mendakwa anaknya menderhaka dan membuang keluarganya setelah berjaya. Tidak berdiam diri, Afiq tampil ke hadapan dan menafikan tuduhan dilemparkan kepadanya menerusi sidang media bersama pelakon, Eina Azman.

Sejak itu, timbul pelbagai kisah tidak enak berhubung masalah keluarga pelakon ini dan turut melibatkan campur tangan pihak luar. Pengakuan Afiq tidak membawa jalan penyelesaian apabila ramai yang mengecam tindakannya yang dilihat memburukkan ibu persis ‘si tanggang’.

Malah, Afiq juga turut diboikot media dan stesen televisyen yang menolak kemunculannya di kaca televisyen dalam tempoh terdekat itu.

8) Asyraf Muslim Kahwin Lain Di Thailand

Pada Mei lalu, pelakon Ashraf Muslim dikatakan hadir ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran berkahwin dua. Namun, Ashraf dinafikan khabar angin itu dan memberitahu dia memang hadir ke mahkamah berkenaan, namun atas urusan lain.

Setelah beberapa kali berdolak-dalih, akhirnya Ashraf mengaku telah bernikah secara rahsia kali kedua dengan bekas kru produksi televisyen, Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai lalu.

Pernikahan ini juga dilangsungkan tanpa pengetahuan Dayana dan ia terbongkar setelah isterinya itu menjumpai tiket penerbangan Ashraf ke sana. Ramai yang beranggapan, keputusan Ashraf untuk berkahwin lain adalah kerana Dayana gagal memberikan zuriat sejak bernikah pada 30 Ogos 2011 di Mekah. Malah, perkahwinan kedua ini nyata membahagiakan Ashraf apabila Sakinah kini disahkan hamil.

9) Cinta Tiga Segi Ammar Alfian – Puteri Sarah Liyana – Syamsul Yusof

Bertahun menyulam cinta, pasangan selebriti, Puteri Sarah Liyana dan Ammar Alfian, nekad memutuskan hubungan. Akui Puteri Sarah, perpisahan itu adalah jalan terbaik buat mereka kerana tiada lagi keserasian antara satu sama lain.

Pun begitu, pelakon dan model, Ammar Alfian tidak berpuas hati dengan keputusan itu apabila cinta Puteri Sarah mula beralih kepada pengarah muda, Syamsul Yusof. Mendakwa bekas kekasihnya itu menjalinkan hubungan cinta bersama Syamsul, Ammar bertindak menyerang mereka menggunakan media sosial.

Walaupun dimaki dan dihentam teruk dengan kata-kata yang kurang bijak, namun Syamsul membalas kenyataan itu dengan cara yang berhemah dan menafikan hubungan istimewa bersama pelakon itu.

10) Jawatan Presiden Seniman  Buat Si Maccai Zed Zaidi digugurkan

Baharu sahaja dilantik sebagai pucuk pimpinan Persatuan Seniman pada Mei tahun lalu, akhirnya jawatan Zed Zaidi, digugurkan setelah Mahkamah Tinggi memutuskan Mesyuarat Agung Seniman Kali ke-14 tidak sah.

Keputusan itu merupakan susulan saman yang difailkan pada 25 Januari lalu oleh plaintif Abu Bakar Omar, S.Sahlan, Linda Buang, Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani yang tidak berpuas hati dengan sistem pelaksanaan mesyuarat dan pemilihan calon.

Akur dengan keputusan itu, Zed Zaidi berkata, kesilapan yang dilakukan oleh pasukan pemimpin Seniman sebelum itu turut mengheret kepimpinan terbaharu dalam kemelut itu sehingga peranan mereka dibatalkan.

Walaupun Zed dilihat lebih lantang bersuara, namun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk berhasrat mewujudkan kad diskaun 1Malaysia untuk golongan artis, insurans serta perumahan rakyat ketika bergelar Presiden.

BACA : 15 Perkahwinan Artis Paling Popular Sepanjang Tahun 2013

Comments

  1. kahkahkah~ mmg mengarut xbleh blah lah gosip fizzfairuz tu…. xD

  2. Okay I’m codevncin. Let’s put it to action.

Trackbacks

  1. […] BACA : 10 Kontroversi Dunia Hiburan Terhangat Sepanjang Tahun 2013 […]

  2. […] BACA : 10 Kontroversi Dunia Hiburan Terhangat Sepanjang Tahun 2013 […]

Speak Your Mind

*