Johan Raja Lawak Cedera Di Muka Akibat Di Baling Gelas Selepas Bergaduh Dengan Pengarah Drama

 

johan raja lawak cedera

Johan Raja Lawak berkerusi roda. Cedera selepas dipukul pengarah

SEREMBAN: Pelawak terkenal, Muhammad Yazid Lim atau lebih dikenali sebagai Johan Raja Lawak cedera pada muka akibat dibaling dengan gelas kaca selepas bergaduh dengan seorang pengarah drama di sebuah restoran di Taman Sri Pulai 2, Sikamat di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Johan, 26, bersama isterinya yang juga pelakon, Rozlinawaty Ismail atau Ozlyn Wati, 29, ke restoran itu berjumpa dengan pengarah berkenaan bagi membincangkan mengenai drama yang dibintangi mereka berdua.

Difahamkan suasana menjadi kecoh apabila pengarah berkenaan tiba-tiba bertindak membaling gelas kaca ke arah Johan hingga menyebabkannya cedera pada muka manakala Ozlyn Wati yang cuba meleraikan pergaduhan turut cedera pada muka.

Kejadian dikatakan berpunca apabila pengarah drama berkenaan, Mohd Javed Mohd Nizar, 33, tidak puas hati dengan sikap Johan yang sering datang lewat ke lokasi penggambaran drama komedi seram berepisod yang akan ditayangkan di Astro.


Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia sedang menonton perlawanan badminton di rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi riuh rendah dari restoran yang terletak berhampiran.

“Saya segera ke restoran berkenaan dan mendapati muka mangsa sudah berlumuran darah selain meja terbalik termasuk pinggan mangkuk yang bersepah,” katanya ketika ditemui di sini.
Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Seremban 2. Selepas membuat laporan, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTSJ) di sini untuk rawatan susulan kira-kira jam 10.30 malam dan dipercayai menerima beberapa jahitan pada muka.

Pengarah berkenaan turut membuat laporan di Balai Polis Rahang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan pengarah berkenaan.

“Kejadian berpunca akibat perselisihan faham antara kedua-dua mereka sebelum pengarah berkenaan bertindak membaling gelas kaca ke arah mangsa hingga menyebabkan kecederaan pada muka. Isteri mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut cedera pada muka.

“Kes ini dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Comments

  1. :(

  2. :( ntah pe2

  3. mohammad haffin says:

    sial la pngarah tu….

Speak Your Mind

*