Kami Memang Bercinta – Neelofa

KUALA LUMPUR: “Sejak minggu pertama kami berlakon drama Suri Hati Mr Pilot (SHMP) lagi, memang kami pernah bersama, ” demikian luah Neelofa ketika menghadiri majlis ramah mesra bersama lebih 300 peminat di sini, baru-baru ini. 
Neelofa berkata demikian menerusi rakaman video yang dimuat naik dan dikongsi peminat, termasuk penulis blog, Budiey, di laman sosial serta YouTube. 
Beliau dan Fattah Amin dilihat cuba menjelaskan keadaan sebenar apabila hubungan mereka kononnya dikatakan hambar, hujung tahun lalu, sehinggakan bintang wanita itu tidak lagi mengikuti Instagram aktor terbabit. 
Bagaimanapun, baru-baru ini Neelofa kembali menjadi pengikut Fattah di laman bergambar itu. Lalu timbul persoalan, apakah ia gimik mahupun ‘drama’ baharu kerana kedua-duanya dijangka bergandingan lagi menerusi sebuah drama di bawah arahan Michael Ang? 
Mereka bagaimanapun menafikannya. 
Baru-baru ini juga timbul gosip mengatakan Neelofa rapat dengan seorang kerabat diraja.
“Ramai yang ingat, masa cerita kami timbul awal-awal dulu, ia seperti memberi harapan palsu. Cinta yang digambarkan tidak wujud, hanya igauan, khabar angin, andaian semata-mata dan macam-macam lagilah yang diperkatakan orang. Kami juga sedar peminat harapkan jawapan pasti. 
Cuma dalam hal ini kami kena berhati-hati. Kami tak mahu menyakitkan hati banyak pihak. 
“Kami mahu berlaku adil kepada semua supaya tidak wujud salah faham dalam perkara begini. Memang dari awal minggu ketika penggambaran SHMP, kami memang pernah bersama. Cuma, situasi kami amat berbeza dengan pasangan lain. Kami berada dalam industri yang membabitkan media, peminat, orang ramai dan mereka yang tidak mengenali kami. 
“Lalu, dalam membuat sebarang keputusan membabitkan hal ini, kami kena fikirkan mereka semua. Kami kini memilih untuk berterus-terang kerana wujud cakap-cakap mengatakan semua hanya gimik, permainan dan seperti wujud penipuan,” katanya. 
Neelofa berkata, ketika Fattah menerima lagu Wanita Terakhir yang ditujukan kepadanya, beliau turut mengetahui mengenai perkara itu. 
“Tak wujud istilah Fattah guna nama saya untuk mempromosikan lagu itu. Saya sendiri bersetuju dia menyanyikan lagu berkenaan. Ketika Fattah merakamkan lagu itu pun saya ada di studio rakaman. Kalau ada yang kata kami berdua nak guna populariti dan impak Lofattah (gelaran untuk gandingan mereka berdua dan peminat kedua-duanya) untuk buat duit dan menggunakan peminat, sudah banyak produk kami lakukan bersama,” katanya. 
Neelofa turut berharap, walau apa pun yang terjadi antara mereka, dia sentiasa ingin terus bersikap profesional dengan pelakon lelaki berkenaan. 
“Apa jadi sekalipun, saya sentiasa hendak bekerja dengannya. Saya nak okey dengannya sampai bila-bila. Tak kiralah bagaimana emosi dan tekanan sekalipun. Saya memang tidak mahu bergaduh dengannya. Ini jawapan ikhlas saya dan bukan kerana anda semua ada di depan kami (merujuk kepada peminat yang hadir ke acara berkenaan). 
“Harap Lofattah akan terus kekal tak kira apa jadi,” katanya. 
Sementara itu, Fattah menafikan kemesraan dipaparkan bersama Neelofa selama ini hanya bersifat palsu dan memancing peminat. 
“Kemesraan yang anda nampak sebelum ini adalah benar. Ia bukan harapan palsu kepada peminat. Lagu saya nyanyikan pun memang untuk dia (Neelofa). 
“Cuma apabila kami terus berdiam, macam-macam cerita negatif pula timbul. Saya bukan hanya kasihankan diri sendiri dan Neelofa, tetapi juga peminat yang betul-betul menyokong perjalanan kami. 
“Begitupun semua itu di luar kawalan kami. Apapun, seboleh mungkin teruslah menyokong kami. Jangan komen benda tak elok. Saya sayang Lofattah dan semua peminat. Antara saya dan Neelofa, saya masih mengharapkan daripada anda semua mendoakan yang baik-baik,” katanya.

Jangan Pertikai PhD Saya – Datuk Boy Iman

PENGHUJUNG 2016 menyaksikan seorang artis, Boy Iman menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dari sebuah kolej swasta yang tular di laman media sosial Facebook.
Walau bagaimanapun, penganugerahan tersebut mengundang pertikaian ramai pihak apabila majlis konvokesyen yang diadakan didakwa tidak ubah seperti ‘cabutan bertuah’.
Akibat terlalu banyak gelaran ‘doktor falsafah’ palsu, ramai orang bertanya kajian dan jurnal yang ditulis oleh dia atau nama sebenarnya Norul Iman Abd. Rahman, 37, sehingga melayakkannya menerima ijazah berkenaan.
Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia Sabtu, dia menerima ijazah itu sebagai satu anugerah yang diberikan oleh kolej swasta berkenaan.
“Ijazah diterima sebenarnya ijazah doktor kehormat dalam bidang sosial dan kemanusiaan yang sepatutnya diterima oleh penasihat syarikat saya.
“Namun atas alasan tertentu, saya bagi pihak penasihat syarikat diminta menerima anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan kepada kolej berkenaan yang berbesar hati menganugerahkan ijazah doktor ‘kehormat’.
“Justeru, saya tidak mahu mempertikai kolej yang mempunyai jaringan pendidikan dengan sebuah universiti di Chennai, India itu. Tetapi saya hormat dan menghargai pengiktirafan mereka itu,” jelasnya.
Katanya, dia telah memulakan pengajian secara jarak jauh (PJJ) sejak 2013 dan membuat kajian untuk tesis serta tugasan lain bagi memenuhi keperluan ijazah tersebut.

Mia Ahmad Terlupa Sudah Berkahwin

Hampir tiga minggu mendirikan rumah tangga malah inai di jari masih lagi merah.

Dalam kemesraan dan manjanya pelakon Mia Ahmad bersama suami tercinta, Izham Tarmizi, akui masih lagi terlupa dirinya sudah berkahwin.

Terdahulu dalam sebuah video rakaman yang dimuat naik di Instagram milik Mia, aktres manja itu tersasul ‘bakal suami’.

Namun Mia akui kesilapannya itu dengan menjawab setiap komen peminatnya yang berasa hairan.

Kesian Izham tu Mia. Lama sangat membujang tu sampaikan dah kahwin pun masih lagi terasa solo.

Tanpa buang masa jom kita layan video ni.

Perkahwinan Kami Masih Bahagia – Hanez Suraya

KUALA LUMPUR: Pelakon, Hanez Suraya, 32, hari ini tampil membuat penjelasan bahawa tiada apa-apa berlaku di antaranya dengan suami, Romie Razin Adilha Abd Rais. 
Menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi, Hanez berkata, perkahwinannya dengan Romie masih lagi bahagia. 
“Tiada apa yang perlu jelaskan di atas apa yang terjadi. Sememangnya kami hanya manusia biasa yang tidak (dapat) lari daripada melakukan kesilapan. “Cuma, apa yang penting antara saya dan suami, kami masih bahagia bersama dan tidak ada apa-apa yang berlaku. 
“Alhamdulillah, rumah tangga kami masih kekal. Apa yang terjadi biarlah kami berdua selesaikan dan tidak perlu ada spekulasi yang menjadi tokok tambah daripada mana-mana pihak tertentu,” katanya. 
Isnin lalu, BH Online melaporkan Hanez memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, terhadap Romie. 
Sumber memberitahu, Hanez bagaimanapun tidak hadir di mahkamah, sebaliknya hanya diwakili peguamnya. Sementara itu, kata bintang Love You Mr Arrogant terbabit, ada sebab beliau berdiam diri ketika perkara berkenaan menjadi bualan ramai. 
“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sekiranya saya mengambil langkah untuk berdiam (diri). 
“Berdiam bukan bermaksud saya mengiyakan atau menafikan, cuma mahu mengambil masa mencari ruang untuk menenangkan diri. Syukur alhamdulillah, suami saya sentiasa tenang di atas apa yang berlaku ini. 
“Terima kasih di atas sokongan kuat daripada pihak keluarga, rakan rapat, media dan peminat yang sentiasa memberi semangat serta mendoakan yang baik-baik buat kami,” ujarnya. 
Pasangan yang berkahwin pada 25 Mac 2015 itu dikurniakan seorang anak perempuan, Puteri Aleesya, 13 bulan.

Jadi Kegilaan Gadis, Aiman Tino Sudah Muak

Masih lagi belasan tahun umurnya, kemudian dikurniakan suara yang kena dengan hati jutaan peminat muzik tanah air, nama Aiman Tino kini meniti di bibir peminatnya terutama dari kalangan wanita malah jejaka ini mengakui cuba membalas sehabis baik teguran peminat di laman sosial.
“Kalau mereka bertanyakan soalan yang dilihat ‘berlebihan’, memang saya takkan membalasnya, malah saya abaikan saja mesej sebegitu. Namun, jika ada mesej patut saya balas, termasuk yang bertanyakan mengenai perkembangan atau aktiviti seni, saya akan berbuat demikian,” jelasnya kepada BH Online.
Sementara itu, ketika disoal tentang adakah wujud peminat yang mahu melamar dirinya, Aiman merasakan perkara tersebut bukanlah keutamaannya ketika ini selain mahu fokus kepada kerjayanya terlebih dahulu.
“Jauh lagi perjalanan saya sebelum memikirkan untuk bercinta atau berkahwin. Jadi, saya memang tidak pernah terfikir atau terlalu mengambil pusing soalan sebegitu,” jelasnya lagi. 

Che Ta Buatkan Akaun Instagram Untuk Masa Depan Aaisyah Dhia Rana

KUALA LUMPUR: Demi tuntutan semasa, Rozita Che Wan terpaksa akur membuka akaun rasmi Instagram anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, pada 1 November lalu. 

Akaun di bawah nama @aaisyahdhiarana111 itu dibuka pada tarikh berkenaan sebagai simbolik ulang tahun kedua kelahirannya. 
Ketika artikel ini ditulis, jumlah pengikut Instagram si comel berkenaan sudah pun hampir mencecah 91,000 orang. Selain Aaisyah, anak selebriti lain yang turut menjadi perhatian di laman sosial ialah cahaya mata pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Lara Alana; serta anak Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, Yusuf Iskandar. 
Tidak ketinggalan anak Ning Baizura, Yasmin Hani serta pasangan Diana Danielle dan Farid Kamil. 
“Memang sebelum ini saya dan suami (Zain Saidin) tidak mahu mewujudkan sebarang akaun laman sosial untuknya. Begitupun, ketika kami enggan berbuat begitu, wujud banyak pula akaun tidak rasmi yang diusahakan pihak meminatinya. 
“Keadaan semasa termasuk dirinya yang menjadi duta beberapa produk memerlukan apa saja berkaitan dipromosikan. Begitupun, saya sendiri menapis gambar atau video yang dimuat naik, termasuk pergerakan sehariannya. Selalunya ia lebih kepada gambar ‘throwback’. 
“Akaun rasminya dijaga oleh individu lain yang diberikan mandat oleh kami bagi mengemaskini atau memuat naik gambar berkaitan,” kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta. 
Menurut wanita ini, beliau tidak mempunyai masa untuk menguruskan akaun Instagram anaknya itu, seperti dilakukan kebanyakan pasangan artis lain yang memilih mengendalikan sendiri laman sosial permata hati masing-masing. 
Dalam perkembangan lain, Rozita bersama keluarga bakal muncul dalam program realiti, The House musim ketiga, bermula esok. 
“Selain itu, saya juga sibuk menjalani penggambaran program 13 episod Fashion Mania bersama Aidit Noh. Sehingga kini, rancangan terbitan Zeel Production itu baru tujuh episod dirakam. Program saya kendalikan menerusi produksi sendiri, Padusi Pictures, iaitu Air Tangan Bonda pula sudah mula disiarkan,” katanya.
Mengenai dunia lakonan, kali terakhir Rozita dilihat di kaca TV adalah menerusi telefilem, Cikgu Dina Pakai Prada, yang disiarkan di TV9 baru-baru ini. Ia turut dilakonkan Redza Rosli dan Ruhainies. 
“Saya pada awalnya dijadualkan muncul dalam beberapa babak saja. Tetapi, kerana saya baik dengan penerbitnya, babak lakonan saya jadi lebih. Saya juga sepatutnya berlakon dalam drama, Jejak Karmila, yang kini bersiaran di TV3. Namun dek faktor masa, saya terpaksa menolaknya,” katanya.

Pembatalan Dibatalkan, Running Man Teruskan ‘Berlari’

SEOUL: Peminat Running Man kini boleh menarik nafas lega apabila program variasi popular itu tidak jadi ditamatkan, sebaliknya produksi meneruskan penggambaran musim baharu dengan mengekalkan enam anggota asal. 
Nyata pengumuman pembubaran yang dilakukan pada akhir 2016 menyebabkan peminat rancangan yang menjadi fenomena itu mendesak pihak penerbitan memikirkan semula keputusan mereka. 
Naib Presiden saluran SBS, Nam Seung Yong, berkata keputusan mengekalkan Running Man bukan perkara mudah, namun mereka cuba melakukan yang terbaik demi penyokong setia. 
“Sesi luahan membincangkan rasa tidak puas hati antara tunjang utama dengan wakil penerbitan, yang diadakan secara berperingkat awal tahun ini, diharap dapat memperbaiki sebarang kekurangan. 
“Tetapi tidak mudah untuk mereka kekal bersama Running Man memandangkan setiap anggotanya mempunyai komitmen. Terima kasih kepada yang tidak jemu menyokong kami sejak tujuh tahun lalu,” katanya menerusi sidang media, hari ini. 
Pada majlis sama, beliau turut memohon maaf kepada semua anggota Running Man berikutan timbul pelbagai spekulasi kurang menyenangkan sejak kebelakangan ini. 
Running Man menampilkan Yoo Jae Suk, Ji Suk Jin, HaHa, Lee Kwang Soo, Kim Jong Kook dan Song Ji Hyo manakala seorang lagi anggota asal, Gary, menarik diri lebih awal dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada kerjaya nyanyian.