Snapchat Sasar IPO Bernilai RM13 Bilion

SAN FRANCISCO: Syarikat induk rangkaian sosial sedang pesat berkembang, Snapchat memfailkan dokumen umum untuk menawarkan saham yang dijangka menjana sehingga AS$3 bilion (RM13.27 bilion). 
Firma berpangkalan di California, Snap Inc, yang sebelum itu memfailkan dokumen sulit bagi tawaran awam permulaan (IPO) dijangka menjadi antara syarikat teknologi terbesar yang membuat kemunculan dalam pasaran saham sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan penilaian dijangka melepasi AS$20 bilion (RM88.48 bilion). 
Dalam dokumen yang dikemukakan kepada Securities and Exchange Commission, Snapchat berkata ia menjana pendapatan AS$404 juta (RM1.78 bilion) tahun lalu, namun rugi AS$515 juta (RM2.27 bilion). 
Snapchat yang dikenali dengan mesejnya yang boleh menghilang menjadi amat popular dalam kalangan pengguna muda telefon pintar. 
Namun, syarikat itu baru-baru ini memperluaskan tawarannya dengan membenarkan penerbit menghasilkan isi kandungan menerusi platform itu. 
Menurut pemfailan berkenaan, 158 juta orang menggunakan Snapchat dan lebih 2.5 bilion Snaps dicipta setiap hari. 
Snapchat menjalin kerjasama dengan puluhan penerbit dan pertubuhan, termasuk salah satunya diumumkan oleh New York Times semalam. 
Syarikat itu juga memperkenalkan produk dipanggil Spectacles, atau kaca mata yang boleh digunakan untuk mencipta Snaps. 
Snapchat berkata, ia menjangka menjana kebanyakan hasilnya daripada iklan untuk bersaing dengan syarikat seperti Google, Facebook dan Twitter. 
Syarikat itu memberitahu sejak penubuhannya, ia mengalami kerugian dan “mungkin tidak akan mencapai atau mengekalkan keuntungan“. – AFP

Facebook Disaman USD$500 Juta Curi Teknologi Oculus

WASHINGTON: Juri Mahkamah Texas mengarahkan laman sosial Facebook sebagai pemilik aplikasi Oculus Rift membayar ganti rugi AS$500 juta (RM2.21 bilion) kepada syarikat perisian permainan ZeniMax kerana didakwa mencuri teknologi maya syarikat itu.

Dokumen mahkamah mendedahkan, juri membuat keputusan itu selepas mendapati syarikat itu bersalah menciplak teknologi peranti maya daripada ZeniMax, untuk mencipta peralatan Rift ‘headset’.

Tindakan undang-undang itu mendakwa pengasas Oculus, Palmer Luckey membangunkan peralatan alam maya menggunakan kod secara haram daripada syarikat permainan itu.

ZeniMax dalam satu kenyataan berkata, mereka ‘gembira’ dengan kejayaan kes itu dan menganggap ia adalah pelanggaran undang-undang hak cipta dan tanda dagangan milik syarikat itu berdasarkan perjanjian perkongsian teknologi dicabuli Oculus.

Sedangkan teknologi itu dibangunkan oleh mereka dan ia adalah hak eksklusif syarikat itu.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Zenimax Robert Altman berkata, teknologi adalah asas kepada perniagaan syarikatnya dan menganggap kecurian harta intelek mereka adalah satu perkara yang serius.

Facebook menggunakan aplikasi Oculus pada 2014 dan meraih keuntungan AS$2 bilion (RM8.86 bilion) menerusi penjualan ‘headset’ Rift sebagai sebahagian penjualan alam mayanya. – AFP

Kerajaan Nafi Harga Minyak Naik 15 Sen Menjelang Februari?

Kuala Lumpur: Kenaikan harga runcit petrol RON95 bagi Februari dikatakan sebanyak 15 sen manakala RON97 dan diesel naik 5 sen dan 20 sen, bermula tengah malam ini tular sejak pagi tadi.
Namun Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, perkara itu belum dapat disahkan lagi.
Khairul Annuar berkata, penentuan harga minyak di pam kebiasaannya dibuat berdasarkan harga sebenar pasaran oleh kerajaan.
“Kenaikan yang tular di laman sosial termasuk WhatsApp itu mungkin logik namun tidak semestinya tepat. Nilai sebenar kenaikan harga minyak di pam itu hanya akan diumumkan malam ini selepas mendapat maklumat rasmi saja,” katanya.
Berdasarkan spekulasi itu, harga bagi RON95 naik kepada RM2.25 berbanding RM2.10 seliter sebelum ini.
Harga RON97 pula naik kepada RM2.45 berbanding RM2.40 seliter manakala diesel ialah RM2.25 seliter berbanding RM2.05 seliter

Rokok Penyebab Kerugian USD$ 1.4 Trilion

PARIS: Merokok menyebabkan ekonomi dunia kerugian lebih AS$1.4 trilion (RM6.20 trilion) pada 2012, dan membabitkan lebih satu per dua puluh daripada peruntukan penjagaan kesihatan.

Tabiat yang boleh membawa maut itu mengambil hampir dua peratus nilai ekonomi global, menurut pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Barah Amerika, dengan hampir 40 peratus daripada bebannya ditanggung negara sedang membangun.

Ia termasuk AS$422 bilion(RM1.8 bilion) untuk rawatan dan kemasukan ke hospital, selain kos tidak langsung daripada kerugian buruh kepada penyakit dan kematian.

“Merokok menyebabkan beban berat ekonomi seluruh dunia, terutama di Eropah dan Amerika Utara, yang menyaksikan wabak tembakau paling maju.

“Kajian menonjolkan keperluan segera bagi negara melaksanakan langkah kawalan tembakau lebih tegas untuk menangani kos itu,” menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal Tobacco Control.

Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama memasukkan negara berpendapatan rendah dan sederhana dalam anggaran lebih tepat mengenai keseluruhan kos global wabak tembakau.

Kajian terdahulu memberi tumpuan kepada negara maju. Mereka menggunakan data dari 152 negara mewakili 97 peratus perokok dunia di Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Eropah, Asia Tenggara dan Pasifik Barat.

Ia termasuk data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia mengenai penyakit dan kematian disebabkan merokok, kadar pekerjaan dan KDNK.

Pada 2012, penyelidik mendapati ‘penyakit disebabkan merokok merangkumi 12 peratus daripada semua kematian dalam kalangan umur bekerja antara 30 dan 69 tahun, dengan yang tertinggi adalah di Eropah dan Amerika. – AFP

Banyak Menderma Bantu Bill Gates Jadi Trillionaire Pertama Dunia

WASHINGTON: Pengasas Microsoft, Bill Gates, bakal bergelar trillionaire pertama dunia dalam tempoh 25 tahun lagi.
Pertubuhan kebajikan antarabangsa, Oxfam dalam laporannya berkata, Gates dijangka memiliki kekayaan bernilai AS$1 trilion (RM4.43 trilion) pada 2042 ketika berusia 86 tahun.
Oxfam yang ditubuhkan pada 1942 berperanan meningkatkan kesedaran orang ramai bagi menangani masalah kemiskinan di seluruh dunia.
Gates dilaporkan memiliki kekayaan sebanyak AS$50 bilion (RM221 bilion), ketika meninggalkan Microsoft pada 2006.
CNBC dalam laporannya menyebut, jumlah kekayaan itu meningkat dalam tempoh sedekad, iaitu kepada AS$75 bilion (RM332 bilion) walaupun banyak membuat sumbangan menerusi yayasannya.
“Dalam persekitaran seperti ini, apabila anda sudah terlalu kaya, anda tidak seharusnya berusaha keras untuk terus mengumpul kekayaan,” kata Oxfam.
Baru-baru ini, Oxfam melaporkan bahawa lapan hartawan paling kaya di dunia memiliki kekayaan bersamaan dengan kekayaan yang dimiliki 3.6 bilion penduduk dunia.
Selain Bill Gate, tujuh lagi hartawan terbabit ialah pelabur, Warren Buffett; pengasas Inditex, Amancio Ortega; warga Mexico, Carlos Slim; Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos; pengasas Facebook, Mark Zuckerberg; pemilik Oracle, Larry Ellison dan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg.- AGENSIa

Kabinet Ambil Serius Kerugian Berkaitan Forex RM44 Bilion

KUALA LUMPUR: Kabinet akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Bank Negara Malaysia berhubung pendedahan kerugian AS$10 bilion dalam transaksi pertukaran asing (forex) pada 1990-an seperti didakwa bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid. 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan memandang serius dakwaan itu kerana ia membabitkan jumlah kerugian yang besar. Katanya, Kabinet akan memutuskan tindakan sesuai selepas mendapat maklumat itu. 
“Saya akan mendapatkan pandangan dan ulasan Bank Negara terlebih dulu, ” katanya kepada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, hari ini. 
Beliau mengulas laporan akhbar yang menyiarkan pendedahan Abdul Murad, mendakwa Bank Negara pernah rugi AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat itu. 
Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya merekodkan kerugian sebanyak RM9 bilion.

Ekonomi Malaysia Berkembang Dengan Baik – Menteri Kewangan

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia, yang diunjurkan berkembang antara 4.5 dan 5.0 peratus tahun ini, diyakini dapat dicapai berdasarkan asas ekonomi negara yang kukuh serta dasar fiskal dan kewangan yang baik, kata Datuk Seri Najib Razak. 
Bercakap pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di sini hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sasaran itu adalah lebih baik berbanding jangkaan yang dicapai ekonomi negara pada tahun lalu iaitu sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus. 
Timbalan Perdana Menteri berkata prospek pertumbuhan ekonomi dunia pada 2017 dijangkakan lebih baik berbanding tahun sebelumnya, berkembang 3.4 peratus berbanding 3.1 peratus pada 2016. 
Katanya, perdagangan dunia juga dijangkakan meningkat 3.8 peratus pada tahun ini berbanding 2.3 peratus pada 2016. 
“Bagaimanapun, beberapa risiko dijangkakan terus dihadapi, termasuk pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu dan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan negara maju dan beberapa negara serta perkembangan dasar di Amerika Syarikat yang perlu diberi perhatian,” katanya. 
Katanya, Malaysia juga menghadapi beberapa risiko domestik seperti lebihan akaun semasa yang semakin mengecil, penyusutan nilai mata wang ringgit, peningkatan hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta peningkatan kos sara hidup. 
Mengenai harga minyak dan komoditi minyak sawit dan getah, Perdana Menteri berkata semua harga itu menunjukkan trend terkini yang memberangsangkan. 
“Harga minyak mentah global, Brent, menunjukkan trend peningkatan iaitu berada pada paras purata AS$55 setong sehingga 23 Januari lalu berbanding AS$44 setong bagi tahun lalu. 
Katanya, dengan komitmen daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengehadkan pengeluaran dunia, harga Brent dijangkakan dapat dipertahankan pada paras itu atau naik sedikit tahun ini. 
Mengenai harga minyak sawit, katanya, trend peningkatan harga komoditi itu boleh dilihat berdasarkan harga terkini yang mencecah purata RM3,264 setan metrik (sehingga 23 Januari 2017) berbanding RM2,650 setan metrik pada 2016. 
Najib berkata harga getah yang juga meningkat dengan ketara, sudah pasti memberi kelegaan kepada ratusan ribu pekebun kecil di luar bandar. 
Beliau berkata sekiranya trend itu berterusan, kedudukan kewangan negara akan bertambah kukuh dan lebih banyak program berpaksikan kesejahteraan rakyat akan dapat dilaksanakan. BERNAMA