Anzalna Nasir Selar Kenyataan Shah Iskandar Yang Mempermainkan Kakaknya

 

diana nasir shah iskandar

Seminggu lalu, nama Shah Iskandar dan Diana Nasir, kakak kepada aktres jelita, Anzalna, menjadi tumpuan ramai setelah wanita itu memuat naik status mengenai hubungan mereka di laman sosial, Facebook.

Turut disertakan gambar mesra berdua, tidak hairanlah ramai yang menyifatkan pasangan ini dilamun cinta. Bagaimanapun, tindakan pelakon Teduhan Kasih ini yang menafikan hubungan dengan wanita itu menerusi sebuah majalah membuatkan Anzalna rasa kecewa. 

Menurut Anzalna yang juga pelakon Love You Mr Arrogant, kenyataan Shah bertentangan sama sekali dengan apa yang berlaku sebenarnya. Jelasnya, hubungan mereka sebenarnya lebih dari rakan biasa.

“Pada mulanya saya cukup marah dengan Diana setelah membaca kenyataan Shah yang menunjukkan seolah-olah kakak saya yang tepuk sebelah tangan dan ‘syok sendiri’.

“Sedangkan dia (Shah) yang sebenarnya terhegeh-hegeh dengan Diana. Malah saya sendiri pernah membaca SMS Shah yang begitu menagih cinta terhadap kakak saya.

“Tetapi setelah mendengar penjelasan daripada Diana, saya terpaksa fikirkan kembali situasi yang sedang dilalui mereka,” kata Anzalna ketika ditemui pada majlis Pelancaran Program Bual Bicara Diva La Vida di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kelmarin.

Finalis Dewi Remaja ini turut memohon supaya masyarakat di luar sana tidak membuat persepsi yang negatif terhadap kakaknya.

“Saya tidak mahu terlibat dengan perkara ini, tetapi bila ramai yang memandang serong kepada Diana, jadi saya terpaksa betulkan keadaan.

“Saya kenal Diana kerana dia bukan wanita begitu. Walaupun sikapnya agak peramah dan gila-gila, ia tidak bererti dia mudah didampingi oleh mana-mana jejaka,” ujar Anzalna yang tidak menyimpan perasaan dendam terhadap Shah meskipun kecewa dengan sikap aktor tersebut.

 

Speak Your Mind

*