Ana Dahlia Kini Tenang Selepas Penceraian, Sudah Memaafkan Chef Riz

Ana Dahlia Chef Riz

Hanya sempat melayari alam rumah tangga selama 11 bulan bersama Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz dan kemudian berpisah, Ana tanpa berselindung mengaku dia sangat tertekan dengan kejadian yang menimpa dirinya.

“Saya memang rasa sangat lemah serta tidak ada semangat mahu pergi bekerja atau berjumpa dengan sesiapa.

“Dalam masa seminggu atau dua saya mengalami kejadian sukar untuk tidur. Sehinggakan ketika itu (sewaktu baru bercerai) saya rasa seperti ingin mengambil pil tidur sebagai penyelesai masalah saya.

“Namun, syukur saya masih berfikir secara positif bahawa mungkin satu hari nanti saya benar-benar akan mendapat seseorang yang lebih baik.

“Selain itu, rakan baik dan keluarga memang banyak menyokong saya terutamanya adik lelaki saya, Mohd. Zulfahmi,” luah Ana yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang ditemu ramah.

Tidak mahu dianggap sudah serik dengan lelaki, jelas Ana, jika benar dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang, biarlah dia bertemu dengan seorang lelaki yang setia dan menyayanginya.

Bagaimanapun, buat masa ini ujarnya dia belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya.

Ujarnya: “Kini saya tidak mahu mencari atau boleh dikatakan buat masa ini, hati saya masih sukar untuk percaya dan terima lelaki. Namun, bagi saya pemulihan dan terapi terbaik sekarang ialah fokus pada kerjaya.

“Walaupun saya masih terasa dengan apa yang terjadi, namun rasanya tidak perlu saya tunjukkan kesedihan yang dialami kepada orang lain.

“Saya juga tidak mahu keluarga nampak saya tertekan dan bersedih,” jelasnya yang banyak berdoa semoga semuanya berjalan dengan baik.

Tambahnya, dia sudah memaafkan bekas suami dengan apa yang telah terjadi. Malah, sewaktu diminta memberi komen terhadap gambar bekas suaminya bersama seorang wanita yang tersebar di internet baru-baru ini, Ana enggan memberi komen panjang lebar.

Dia sebaliknya hanya berkata: “Saya harap dia (Chef Riz) bahagia dengan wanita itu dan kehidupannya sekarang. Saya juga harap selepas ini jangan suka menuding jari mencari kesalahan saya lagi.”

Speak Your Mind

*